|
Antara abad ke-15 dan 16, Negeri Sembilan telah diduduki masyarakat Minangkabau dari Sumatera Barat yang telah berhijrah ke rantau tersebut di zaman Keagungan Kesultanan Melayu di Melaka.
Masyarakat Minangkabau telah membawa bersama mereka khazanah warisan kebudayaan yang kaya yang hingga kini masih diabadikan dan diamalkan sebagai Adat Perpatih yang sudah tidak asing lagi yang merangkumi adat-istiadat perkahwinan dan pentadbiran kepusakaan yang begitu unik di Negeri Sembilan.
Dalam sejarah awal Negeri Sembilan, negeri ini tidak pernah wujud sebagai negeri yang bersatu, malah sebaliknya terbentuk daripada persekutuan yang longgar bagi 9 buah kawasan yang muncul di lembah-lembah terasing rantau tersebut.
Hanya pada tahun 1773 sahajalah iaitu tatkala Raja Melewar menjadi Yam Tuan, kawasan Sungai Ujong, Rembau, Johol,Jelebu, Naning, Segamat, Ulu Pahang, Jelai dan Kelang telah dirangkumkan di bawah pemerintahan baginda.
Sejarah Negeri Sembilan moden bermula dengan penjajahan British di daerah-daerah sungai Ujong, Rembau dan Jelebu. Di Sungai Ujong , orang-orang British telah campur tangan dalam pertentangan antara Dato` Kelana dan Dato` Bandar yang telah menjejaskan dagangan bijih timah sepanjang Sungai Linggi. Perjanjian antara British dengan Yam Tuan pada 1885 membawa kepada penubuhan sebuah persekutuan Negeri Sembilan yang mengandungi enam `kawasan adat` iaitu Sri menanti, Sungai Ujong, Jelebu, Johol, Rembau dan Tampin. Tujuh daerah Negeri Sembilan yang ada seperti sekarang.
|